Episod 14 - Gosip vs Yusuf

Beberapa minggu lepas aku catat mengenai gosip aku bakal ditukarkan jabatan. Aku tunggu dengan sabar kalau-kalau bakal berlaku sesuatu tetapi sampai sekarang, tiada apa-apa. Mungkin betul itu sekadar gosip! Ingatkan artis sahaja yang tidak lepas daripada gosip, tetapi aku yang bukan siapa-siapa ini pun boleh terkena juga. Sabar sajalah!

Beberapa minggu selepas 2010, suasana terasa sama seperti tahun lepas. Yalah, apa yang aku harapkan? Aku masih bekerja di tempat yang sama, dengan kawan-kawan yang sama dan menjalani rutin kerja yang sama. Jadi memang terasa sama saja seperti tahun lepas!

Di pejabat ini pun, ada orang hendak main politik! Aku pernah dengar orang kata, “Dalam politik, musuh belum tentu mencederakan kita tetapi kawan sendiri tidak mustahil boleh membunuh kita.” Jangan-jangan ada kawan aku yang memang hendak tikam aku dari belakang. Hisy! Jangan buat persepsi bukan-bukan, Sali!

Mujur juga sehari dua ini gosip itu sudah mula sejuk.

Cerita mengenai Yusuf?
Ya, dia masih tidak jemu-jemu ajak aku keluar makan tengah hari, keluar minum petang di warong bawah pokok dekat pejabat kami, malah pelik juga satu malam aku terima SMS nya ajak aku teman makan roti canai!

"Isyhh..awak hilang akal?", sergah aku  satu hari di pejabat. Tetapi dia boleh ketawa selamba.

Yusuf tidak lagi seperti yang ku kenal dulu. Yusuf ketika masih bujang seorang yang pemalu dan bercakap apa yang perlu sahaja. Tutur katanya sangat berhati-hati, menyebabkan aku sering rasa aman. Adakah perkahwinan dan status suami telah mengubah watak semulajadi lelaki ini? Ataupun,..ada sesuatu yang menyebabkan Yusuf kini seorang yang berbeza.

Tengoklah perkembangannya seminggu dua lagi, akan aku kongsikan kisah Si Yusuf di sini.
 
Salina
* Nak komen?
Layarilah www.skafmerahjambu.blogspot.com