Episod 15 - Kalahkah Aku?

Akhirnya 'iman' aku cair juga. Dalam berkeras tidak mahu menerima ajakan Yusuf untuk keluar bersama, akhirnya aku terima juga ajakan dia. Setiap hari dia asyik IM bertanya, bila ada masa untuk keluar makan sama, aku rasa berat hendak menolak lagi.

Agak tercabar juga sebenarnya bila Yusuf kerap menyindir aku jual mahal dan perasan bagus. "Ajak keluar makan saja, bukannya ajak kahwin. Saya sudah ada isteri, tak berhajat nak pasang satu lagi!" Begitu lebih kurang dia menulis dalam IM, sungguh-sungguh buat aku sakit hati. Di hujung ayat, dia selitkan ikon 'ketawa besar', buat hati aku lebih terbakar!!

Huh! Apabila dia sudah sampai ke peringkat 'mengutuk' dan 'mencemuh', akhirnya aku terima ajakannya. Rasa macam aku hendak kata pada dia, "Saya tak hairanlah dengan awak. Kalau awak bukan suami orang pun, saya tak 'hingin' pun dengan awak!"

Namun tidak terluahpun kata-kata itu. Aku berkata sendiri saja. Kalau hendak berbahasa pun, biarlah berpada-pada. Jangan nanti, aku dimakan sumpah dek kata-kata aku sendiri!

Kami keluar makan. Pilih destinasi luar, bukan di kafe pejabat. Dia yang beria-ia sangat hendak belanja aku di tempat kegemarannya. Orang hendak belanja, aku turutkan saja. Aku cakap pada diri sendiri, keluar makan sahaja okey! Betulkan hati, luruskan niat! Sesekali fikir, aku rasa seperti reaksi aku keterlaluan pula pada sebuah ajakan teman sepejabat untuk keluar makan.

Makan, minum sambil bersembang-sembang. Macam-macam cerita pula yang keluar, kebanyakannya hal ehwal pejabat. Paling aku tersentak apabila Yusuf kata, dia pernah dengar gosip suatu ketika dahulu (ketika dia masih bujang) bahawa Sali minatkan dia. Dia cerita dalam nada ketawa sambil menambah, "Saya rasa dulu saya pun agak minatkan awak, Sali!"

Apa yang aku rasa? Entahlah...terkedu.
 
Salina
* Nak komen? Layarilah
www.skafmerahjambu.blogspot.com